Harapan untuk menyaksikan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, ke final Kejohanan Badminton Terbuka Perancis tidak kesampaian selepas pilihan keempat kejohanan itu tewas kepada gandingan veteran Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baekchol, dalam separuh akhir di Paris awal pagi tadi.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu bermula baik apabila menguasai set pertama sebelum memenanginya 21-14.

Bagaimanapun, kehilangan fokus menjadi punca gandingan negara itu gagal menyerlah dalam set kedua sebelum akur tewas mudah 10-21 untuk Sung Hyun dan Baekcheol mengheret perlawanan itu ke set penentuan.

Dalam set ketiga, Aaron dan Wooi Yik pada satu ketika selesa mendahului 18-13 sebelum beregu veteran Korea Selatan itu sedikit demi sedikit mengejar mata untuk menyamakan kedudukan di angka 19.

Jelas masalah fokus sekali lagi menjadi masalah terbesar pasangan negara itu apabila berada tiga kali di kedudukan mata akhir sebelum melepaskan set penentuan itu dengan kekalahan 22-24 dalam pertarungan yang memakan masa 56 minit.


*Kredit foto: Badminton Photo