Pemain pilihan ketiga, Alexander Zverev, tersingkir daripada Kejohanan Tenis Terbuka Miami selepas tewas dalam pusingan kedua kepada pemain berusia 21 tahun dari Finland, Emil Ruusuvuori, yang menewaskan pemain dalam kelompok 10 teratas buat kali kedua sepanjang kariernya.

Russuvuori bangkit daripada ketinggalan satu set dengan mengubah pendekatan taktikalnya untuk menenggelamkan lawan pilihan dari Jerman itu untuk mencongak perhitungan dengan Mikael Ymer dalam pusingan ketiga.

Zverev mungkin memenangi Terbuka Mexico minggu lalu dan set pertama 6-1 ketika berdepan Russuvuori tetapi nasib pemain muda Finland itu berubah 360 darjah dalam set kedua berikutan aksi paling cemerlang pernah dipamerkannya.

Pemain Finland di ranking ke-83 dunia itu kerap bermain di jaring dan mempamerkan pendekatan yang amat agresif untuk menewaskan Zverev 1-6, 6-3, 6-1.

"Saya sudah tidak kenal diri saya," kata Russuvuori ketika ditanya bagaimana dia mengubah nasibnya menerusi satu temu bual di atas gelanggang.

"Saya tidak berasa selesa dalam set pertama dan melakukan banyak unforced error tetapi secara perlahan-lahan, saya mula berasa lebih baik dalam set kedua... Sudah pasti ia merupakan antara kejayaan terbesar dalam karier saya, jadi ia berasa amat bagus."

Dia kemudian akan berdepan Ymer,yang menyingkirkan pemain pilihan ke-27, Nikoloz Basilashvili.