Hubert Hurkacz merekodkan kemenangan ke-10 berturut-turut untuk menghampiri gelaran pertamanya dalam Masters 1000 ATP apabila menewaskan Andrey Rublev dalam Kejohanan Tenis Terbuka Miami malam tadi.

Pemain pilihan ke-26 itu menumbangkan pemain pilihan keempat, Rublev, 6-3, 6-4 untuk menempah tempat ke final dan akan bertemu pemain muda berusia 19 tahun, Jannik Sinner, yang menewaskan Roberto Bautista Agut dalam satu lagi separuh akhir.

Pemain berusia 24 tahun dari Wroclaw itu turut menumbangkan pemain pilihan kedua, Stefanos Tsitsipas, dalam suku akhir dan meneruskan prestasi cemerlangnya tanpa membenarkan Rublev berasa selesa sepanjang pertemuan itu.

"Ia amat bermakna, terutama selepas memenangi gelaran pada awal tahun ini, saya berdepan beberapa perlawanan sukar," kata Hurkacz dalam satu temu bual di atas gelanggang sambil turut menyatakan mengenai kejayaannya memenangi Terbuka Delray Beach di Florida awal tahun ini.

"Saya amat gembira kerana dapat mengatasinya dan saya akan mencuba untuk memperbaiki permainan saya dan menjadi pemain yang lebih baik. Ia benar-benar sesuatu yang amat besar buat saya."

Pemain berusia 23 tahun dari Rusia itu juga telah memenangi 16 perlawanan sepanjang kalendar tahun ini, termasuk dalam Terbuka Rotterdam bulan lalu.