Menjelang saingan Terbuka Malaysia, kondisi gandingan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun, menjadi persoalan apabila Wei Chong mengalami kecederaan lutut kiri sebelum ini.

Bagaimanapun, Wei Chong menjelaskan bahawa dia berada di tahap yang memuaskan dan mampu pamerkan aksi yang memberangsangkan esok.

"Sebelum ini saya mengalami kecederaaan lutut namun ia tidak terlalu serius dan kini boleh beraksi," kata Wei Chong.

"Kami telah mula menguji gelanggang, buat masa ini, segalanya dalam keadaan baik," kata Kai Wun.

Itu perkongsian Wei Chong-Kai Wun, mengenai kondisi mereka serta gelanggang Terbuka Malaysia.

Wei Chong-Kai Wun diundi bertemu dengan gandingan juara Piala Thomas 2022, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, pada pusingan pertama kejohanan tersebut.

Walaupun bakal menentang gandingan yang mempunyai ranking lebih tinggi dan buat kali pertama, Wei Chong-Kai Wun, tidak gentar untuk melakar kejutan.

Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, menjelaskan kondisi WeiChong masih di bawah pemantauan.

Dan jika Wei Chong kelihatan seperti tidak mampu untuk bersaing terdapat kemungkinan gandingan Wei Chong-Kai Wun terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan.

Di samping itu, Rexy juga menyatakan bahawa walaupun terdapat beberapa gandingan luar negara menarik diri daripada saingan Terbuka Malaysia peluang beregu negara untuk meraih kejuaraan masih sama kerana tahap permainan semua kategori beregu lebih kurang sama.