Terbuka Malaysia: Tang Jie, Ee Wei kejutkan beregu campuran nombor satu negara

Wartawan Sukan Sinar
Januari 11, 2023 10:07 MYT
Tuah beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang baru digandingkan Disember tahun lalu apabila melakar kejutan pada kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 setelah menewaskan pasangan nombor satu Malaysia pada Rabu.
Mereka yang baru bersama lebih sebulan menumpaskan Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing yang merupakan semi-finalis kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2022 di Thailand akhir tahun lalu.
Perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei melakar kemenangan ke atas pasangan nombor enam dunia itu, 21-15 dan 21-10 dalam tempoh 31 minit permainan.
Kemenangan itu membolehkan Tang Jie dan Ee Wei mara ke pusingan kedua pada Khamis.
Menanti mereka ialah pasangan Indonesia, Rehan Naufal-Lisa Ayu yang menewaskan gandingan negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 18-21, 21-15, 21-7.
kredit: Sinar Harian