'Dua cerita berbeza', itu situasi yang dihadapi dua gandingan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang memulakan kempen Terbuka Malaysia dengan langkah kanan.

Manakala Chan Peng Soon-Cheah Yee See ditunjuk pintu keluar pada pusingan pertama ketika menentang gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Mentari.

Hari pertama saingan Terbuka Malaysia menyaksikan gandingan Soon Huat-Shevon Lai berjaya mengatasi rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-18, 19-21, 21-18.

Walaupun terdapat sedikit kesulitan dengan tiupan angin ketika perlawanan Soon Huat-Shevon berjaya mengawal perlawanan dengan baik sehingga meraih kemenangan.

Ia situasi berbeza buat gandingan Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang memulakan perlawanan dengan baik bagaimanapun tidak dapat meneruskan rentak tersebut dan tewas 21-9, 12-21, 20-22.

Yee See mengakui faktor angin menjadi punca dia terus melakukan kesilapan mudah pada set kedua dan ketiga.

Gandingan beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Tan Kian Meng, melakar kejutan apabila menewaskan gandingan yang mempunyai ranking lebih tinggi iaitu Jeppe Bay-Lasse Molhede 18-21, 21-15, 21-17.

Walaupun tewas pada aksi beregu campuran, Kian Meng berjaya mempamerkan kekuatan mentalnya pada saingan beregu lelaki sehingga meraih kemenangan.