Dua wakil perseorangan lelaki negara, Chong Yee Han dan Soo Teck Zhi, yang tersingkir dalam pusingan kelayakan Terbuka Malaysia menimbulkan tanda tanya apakah keberkesanan skuad Projek Khas yang ditubuhkan benar-benar mapan?

Meskipun kedua-dua pemain itu turun menentang lawan yang lebih senior dan berpengalaman, ia tidak seharusnya dijadikan alasan.

Skuad Projek Khas ditubuhkan Januari lalu oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bertujuan untuk membantu pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menggapai impiannya mengecap kejuaraan dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland Ogos nanti.

Di samping itu, ia juga mengumpul lima pemain perseorangan untuk bersama-sama berlatih dan membentuk mereka menjadi juara seperti Chong Wei.

Biarpun baru empat bulan ditubuhkan, ia masih belum memberi petanda meyakinkan, ditambah pula kekalahan Yee Han dan Teck Zhi dalam peringkat kelayakan Terbuka Malaysia.

"Dengan kejohanan yang akan disertai semakin kurang, saya berasa agak tertekan.

"Masuk ke dalam gelanggang pun, saya tak berapa yakin," kata Yee Han.

Teck Zhi yang bertemu Liew Darren dalam peringkat kelayakan, tewas 21-15, 21-10, manakala Yee Han pula tewas kepada Jeon Hyeok-jin dari Korea Selatan, 21-12, 19-21, 21-16.

Mujurlah skuad negara masih mempunyai seorang lagi wakil dari skuad Projek Khas, iaitu Lim Chi Wing, untuk mengiringi Chong Wei dalam pusingan pertama nanti.

"Kalah dan menang adalah asam garam.

"Tetapi apa yang penting, kami perlu mengesan punca kekalahan untuk memperbaiki permainan kami pada masa akan datang," ujar Teck Zhi.