Selepas satu demi satu kekecewaan ditampilkan skuad badminton negara musim ini, terbit kegusaran terhadap kemungkinan duka berlanjutan dalam Terbuka Malaysia.

Tetapi bintang utama negara seperti ratu beregu campuran, Goh Liu Ying, dan tonggak beregu lelaki, Tan Wee Kiong, memberi jaminan mereka akan melakukan apa yang terdaya untuk merampas gelaran keramat itu di laman sendiri.

Sukan Komanwel Gold Coast 2018 serta Piala Thomas dan Uber tidak memberikan pulangan diharapkan.

Tetapi pentas Terbuka Malaysia bertaraf perdana ini berupaya menawarkan keyakainan baru buat skuad kebangsaan.

Liu Ying mengetahui perasaan itu susulan hampir mendakap kejuaraan ini pada 2013 dan 2016.

"Ia merupakan satu pengalaman buat saya dalam Terbuka Malaysia. Saya berharap dapat mencipta kejayaan di laman sendiri," kata Liu Ying.

"Setiap pemain mahu mengatasi saat sukar dan ia akan menjadi satu pengalaman serta pengajaran bagi menghadapi kejohanan akan datang."

Sementara itu, Wee Kiong yang belum bernasib baik di pentas ini bersama gandingannya, Goh V Shem, berkongsi nilai kejuaraan Terbuka Malaysia ini.

Atas dasar itu, peminat badminton tanah air boleh menaruh harapan akan terbit keajaiban meskipun cabaran sukar menanti wakil negara berdepan pemain elit dunia.

"Saya masih belum memenangi Terbuka Malaysia dan kali ini berharap saya mampu melakukannya," kata Wee Kiong.

"Saya berasakan skuad negara memiliki empat beregu dan berharap dapat memberikan saingan," ujarnya.