Mimpi ngeri buat pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, apabila gagal mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas tewas, 21-18, 19-21, 17-21, kepada pasangan Indonesia, Edi Subaktiar dan Gloria Emanuelle Widjaja, di Kuching, Sarawak, hari ini.

Sebelum bermulanya saingan, pasangan sandaran negara itu dilanda beberapa isu kecil antaranya kesuntukan masa untuk menguji gelanggang serta Liu Ying yang masih dihimpit masalah kesihatan.

Meskipun begitu, Peng Soon-Liu Ying tetap mempamer aksi kemas untuk memenangi set pertama dengan 21-18.

Tetapi, entah di mana silapnya, prestasi mereka kian longlai apabila memasuki set kedua sehingga tewas, 19-21.

Dan pada set ketiga, Subaktiar-Widjaja mengambil kesempatan untuk mengakhiri perlawanan sekali gus menyingkirkan pasangan negara dengan 17-21.

"Memang persembahan tidak bagus hari ini," kata Peng Soon. "Banyak kesilapan mungkin terlalu nak menang. Kesilapan sendiri memang banyak."

Sementara itu, Liu Ying berkata: "Saya ada 50 peratus dan saya berikan 50 peratus. Tetapi memang tidak puas hati dengan persembahan sendiri dan kecederaan saya."