Harapan tinggi yang disandarkan kepada barisan pemain beregu campuran negara dalam Terbuka Malaysia pada edisi kali ini tidak berjalan seperti diharapkan apabila kesemua wakil negara dalam acara tersebut tersingkir awal.

Ia jelas satu kempen yang mengecewakan buat pemain dalam acara beregu campuran, bermula dengan kekalahan mengejut pilihan kelapan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, kepada pasangan Indonesia, Edi Subaktiar-Gloria Emanuelle Widjaja.

Di atas kertas, Peng Soon-Liu Ying seharusnya tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan Subaktiar-Widjaja, memandangkan mereka mempunyai ranking yang lebih baik daripada lawan, tambahan pula mereka baru sahaja mengalahkan pasangan Indonesia itu dalam Terbuka India minggu lalu.

Namun, atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan, Peng Soon-Liu Ying jelas menghadapi kesukaran untuk menjelmakan persembahan terbaik di atas gelanggang.

"Saya mengalami kecederaan tapi kami tidak mahu mendedahkannya kerana ingin beraksi dalam Terbuka Malaysia.

"Sebelum ini, saya telah berbincang dengan Peng Soon mengenai tahap keadaan saya yang tidak begitu bagus.

"Namun, kami memutuskan untuk mengambil bahagian juga kerana kita adalah tuan rumah.

"Disebabkan itu, saya tidak mahu menghampakan peminat-peminat tempatan," ujar Liu Ying.

Wakil terakhir negara yang turun ke gelanggang dalam pusingan pertama semalam, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, turut tersungkur awal apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Jepun, Ayene Kurihara-Kenta Kazuno, 6-21, 21-19 , 21-13.

Bagaikan serba tidak menjadi, perlawanan yang seharusnya menjadi milik mereka akhirnya terlepas ekoran kedua-dua pemain itu hilang fokus dan terlalu mengikut rentak lawan sehingga menjerat diri.

"Sebenarnya, kami tidaklah terlalu tertekan memandangkan kejohanan ini adalah tahap Super Siri Premier.

"Kerana terlalu ingin menang, ia mendorong kami menampilkan permainan pantas," kata Kian Meng.