Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Jonatan Christie, melakar kejutan apabila menewaskan pemain nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun, dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pemain Indonesia itu yang menduduki ranking ke-11 dunia, menyingkirkan Momota 22-20, 21-16 dalam masa 46 minit, dan akan bertemu bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, yang mengalahkan Lu Guangzu dari China, 21-11, 16-21, 21-17, dalam pusingan seterusnya.

Jonatan berkata bukan mudah untuk mengatasi pemain terkemuka dunia seperti Momota dan menyifatkan kemenangan itu kerana pencabarnya tidak mempamerkan permainan sebenar hari ini.

“Permainan saya lebih baik hari ini, mungkin kerana saya beraksi tanpa tekanan, namun Momota sebaliknya. Jadi, kesempatan itu saya gunakan untuk lebih menguasai gelanggang hari ini,” katanya..

Sementara itu, Jonatan menghargai pandangan peminat badminton yang menyifatkan dia antara pemain berpotensi menjadi pemain hebat seperti Datuk Lee Chong Wei, Lin Dan dari China dan Momota.

Bagaimanapun, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu serta menyifatkan prestasinya masih perlu diperbaiki dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya tidak fikir saya pemain yang hebat seperti mereka. Itu pendapat peminat badminton. Saya hanya fikir bagaimana untuk pastikan bakat dan prestasi saya terus berkembang dalam setiap perlawanan. Saya tidak mahu berfikir lebih daripada itu,” jelasnya.

Jonatan juga tidak memasang impian besar untuk muncul juara Terbuka Malaysia kali ini kerana mengakui ramai lagi pemain terbaik dunia seperti Chen Long dari China, dan Axelsen yang masih meneruskan cabaran dalam kejohanan itu.

-- BERNAMA