Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani gagal menyekat prestasi cemerlang Fajar Alfian-Rian Ardianto apabila ditunjukkan jalan keluar 14-21, 12-21 dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Gema di Axiata Arena, Bukit Jalil, belum cukup untuk memacu pemain beregu negara itu ketika berdepan lawan yang menyingkirkan wakil profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, semalam apabila disingkirkan dalam tempoh 37 minit.

Sejak mata pertama lagi, Fajar Alfian-Rian Ardianto yang turun selaku pilihan keenam sentiasa memimpin pertarungan set pertama dan bayangan kebangkitan taruhan negara itu dijelmakan dalam set seterusnya.

Mereka masih mampu mengikat kedudukan 5-5 tetapi makin longlai, khususnya selepas lawan mengorak ke kedudukan 8-11 sebelum menyerah kalah.