Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan ke final badminton Terbuka Malaysia apabila mengetepikan cabaran pemain Hong Kong, Vincent Wong Wing Ki, untuk membuat perhitungan yang dinanti-nantikan peminat -- bertemu Lin Dan dalam aksi final di Kuching, Sarawak, esok.

Jika dihitung daripada tujuh rekod pertemuan di antara kedua-dua pemain itu, kesemuanya berpihak kepada Chong Wei.

Begitupun, pertemuan menentang Vincent Wong pada kali ini tidak semudah yang diramalkan.

Dalam set pertama, Vincet memberi tentangan sengit buat pemain nombor satu dunia itu, sehingga mata terikat 9-9 pada suatu ketika, sebelum Chong Wei menggunakan pengalamannya untuk mencatatkemenangan 21-12.

Dalam set kedua, aksi lebih menarik ditampilkan kedua-dua pemain.

Chong Wei tidak banyak membuang masa dalam menjarakkan jurang mata yang jauh untuk dikejar lawan.

Chong Wei mengesahkan kemaraannya ke perlawanan akhir apabila memuktamadkan perjuangan hari ini dengan keputusan 21-9.

"Saya sudah bersedia berdepan dengannya dan banyak mengkaji rakaman permainannya.

"Tetapi di dalam gelanggang, segalanya berbeza. Dia sangat tangkas dan saya gagal mengikut tempo kepantasannya," kata Vincent Wong.

Berdasarkan prestasi semasa, Chong Wei dijangka mempunyai peluang untuk mencatat kemenangan ke-12 dalam pertemuan ke-36 dengan Lin Dan di pentas akhir esok.

Setakat ini, Lin Dan masih mendahului rekod pertemuan dengan Chong Wei menerusi 24 kemenangan.

"Saya sedar pemain lawan akan memberi tekanan kepada saya.

"Bermain di laman sendiri, saya sudah katakan bahawa semua pencabar 'geram' dengan saya dan mahu mencipta kemenangan.

"Saya perlu serap segala tekanan itu dan akan berjumpa Lin Dan, esok," ujar Chong Wei.