Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menjulang kejuaraan ke-12 Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia dengan menumpaskan cabaran pemain Jepun, Kento Momota, dalam perlawanan akhir penuh mendebarkan di Arena Axiata, hari ini.

Chong Wei, yang lebih banyak menerapkan corak permainan santai, berjaya membaca kelemahan Momota seawal saingan untuk membolehkannya meraih kemenangan 21-17 dalam set pertama.

Momota, yang baru kembali beraksi selepas penggantungan setahun kerana terlibat dalam kes perjudian, tidak memberi laluan mudah buat Chong Wei dalam set kedua.

Kedua-dua pemain saling meraih mata demi mata untuk perlawanan berlangsung sengit selain menerbitkan suasana dramatik dalam kalangan penyokong di Arena Axiata.

Namun, pengalaman Chong Wei memainkan peranan penting apabila bangkit daripada kedudukan 21-21 untuk menoktahkan cabaran Momota dengan keputusan 23-21 dalam tempoh 71 minit.

Chong Wei, yang boleh diibaratkan sebagai wira negara, berjaya mencipta gemilang menerusi gelaran ke-12 di Terbuka Malaysia selain memperkukuhkan statusnya selaku pemain senior terbaik dunia.

Chong Wei juga menjadi pemain banyak memenangi kejohanan tersebut.

"Dia adalah pemain terbaik. Saya hanya cuba yang terbaik dan fokus untuk mendapatkan setiap mata.

"Jangan berputus asa dan berharap impian untuk merangkul kejuaraan ke-12 menjadi kenyataan. Ini adalah satu rangsangan semangat bagi menghadapi kejohanan akan datang," kata Chong Wei.

"Dia (Chong Wei) seorang pemain yang bagus, saya sudah berikan apa saya ada, namun dia masih tenang untuk membalas pukulan saya. Saya kena akui yang dia seorang yang pemain yang disegani," kata Momota.