Pelapis senior Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyambar tiga kejuaraan dalam Terbuka Antarabangsa Latvia, semalam.

Ia petanda dasar BAM meremajakan skuad negara berada di landasan tepat walaupun ada antara yang menjadi juaranya dibelenggu COVID-19.

Tiga kejuaraan itu kesemuanya datang daripada wakil beregu termasuk dua pertemuan final di antara rakan senegara.

Kejayaan manis Malaysia di Eropah itu bermula dalam saingan beregu campuran apabila Yap Roy King-Valaree Siow menewaskan Nurfirdaus Azman-Low Yeen Yuan.

Valeree-Yeen Yuan kemudian bergandingan untuk merampas gelaran beregu wanita daripada wakil Itali.

Hanya 30 minit diperlukan Valeree-Yeen Yuan untuk menang ke atas Martina Corsini-Judith Mair.

Bagi Valeree, dua kejuaraan dimenangi itu satu kejutan buat dirinya sendiri.

"Saya berterima kasih kepada kedua-dua rakan sepasukan kerana banyak memberi panduan agar saya dapat memberi fokus dalam final.

"Dalam kejohanan ini, saya belajar bahawa aspek fizikal dan mental sangat mustahak buat pemain.

"Cabaran utama saya perlu atasi ialah mengenai pergerakan.

"Saya gembira dengan pencapaian ini tetapi ia belum cukup. Saya perlu bekerja keras lagi demi ke tahap lebih tinggi," kata pemain berumur 19 tahun itu.





Menutup aksi di Latvia itu adalah aksi epik 1 jam 5 minit beregu lelaki di antara Roy King-Nurfirdaus menentang nombor satu remaja dunia, Wan Arif Junaidi-Haikal Nazri.

Hanya pertembungan tiga set yang mampu memisahkan mereka dengan kemenangan memihak Roy King-Nurfirdaus.

Ia merupakan kejuaraan senior pertama Roy King yang bukan sahaja baru digandingkan dengan Nurfirdaus, ia menjadi lebih manis berikutan dilanda positif COVID-19 sebelum ini.

"Kejayaan ini melonjak keyakinan saya memandangkan dapat berdepan pemain dari luar.

"Saya memang sasarkan untuk masuk ke final dan saya dapat melunaskannya.

"Lagipun persiapan saya tidak begitu bagus sebab perlu menjalani kuarantin selain dijangkiti COVID-19," katanya.