Terbuka Korea: Peng Soon-Yee See wakil tunggal dalam separuh akhir

Penulis Jemputan
September 15, 2017 09:35 MYT
Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, menempah tempat ke separuh akhir Terbuka Korea Selatan selepas berhempas-pulas menundukkan pasangan tuan rumah dalam aksi sengit tiga set, hari ini.
Peng Soon-Yee See menjadi wakil tunggal negara di Korea Selatan setelah Gooh Soon Huat-Shevon Lai tersingkir kepada lawan dari Jerman.
Namun, nasib Peng Soon-Yee See juga seakan-akan mirip Soon Huat-Shevon pada awalnya apabila mereka ketinggalan kepada Seo Seung-jae dan Kim Ha Na.
Seung-jae dan Ha Na lebih mendominasi sehingga menggagalkan Peng Soon-Yee See memintas kedudukan lalu akur dengan kekalahan 21-13 dalam set pertama.
Bagaimanapun, Peng Soon-Yee See bangkit untuk menghidupkan semula peluang mereka dan kali ini mereka memperkemaskan permainan untuk menguasai set kedua 21-10.
Pertarungan menjadi semakin sengit dalam set penentuan, dengan kedua-dua beregu menampilkan aksi memberangsangkan. Seu-jae dan Ha Na enggan tewas di laman sendiri manakala Peng Soon-Yee See pula memburu kejuaraan pertama mereka musim ini.
Kemenangan akhirnya berpihak kepada Peng Soon-Yee See dengan keputusan 21-18.