Kempen Malaysia dalam Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan tamat selepas perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, tewas kepada pemain terbaik dunia, Kento Momota, dalam suku akhir di Incheon hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu memaparkan aksi melawan sepanjang 50 minit perhitungan, namun dia gagal menjinakkan jaguh Jepun itu untuk akur tewas 15-21, 19-21.

Terdahulu, Zii Jia melakar kejutan apabila menyingkirkan bekas pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen, dengan kemenangan 21-18, 21-16 dalam pusingan kedua semalam.

Momota pula akan berdepan wakil India, P. Kasyap, dalam separuh akhir esok.

Turut tersingkir dalam suku akhir ialah beregu lelaki muda negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, yang tewas kepada pasangan tuan rumah, Choi Solgyu-Seo Seung-jae, 21-18, 18-21, 21-18.