Terbuka Jerman: Aaron Chia mahu dapatkan prestasi terbaik bersama Wooi Yik

Muzaffar Musa
Mac 1, 2022 14:37 MYT
Pemenang pingat gangsa acara beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia, mahu kembali mendapatkan prestasi terbaik bersama gandingannya, Soh Wooi Yik, menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Jerman bermula minggu depan.
Walaupun berhasil membantu skuad negara menjuarai Kejohanan Berpasukan Asia di Shah Alam bulan lalu, beregu nombor satu negara itu sedar mereka tidak berada dalam keadaan terbaik dan sering tidak dapat mempamerkan ketekalan di atas gelanggang.
Justeru, Aaron, yang mengakui sudah mengadakan perbincangan hati ke hati bersama Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, mahu mempamerkan aksi lebih konsisten dalam kejohanan berkenaan.
Dia berkata kepada wartawan Nadi Arena Muiz Aziz: "Kami sememangnya sedang melakukan persiapan untuk Terbuka Jerman dan Kejohanan Seluruh England (bermula 16 Mac) dan setakat ini segalanya berjalan dengan baik.
"Saya rasa kami perlu menambahkan momentum kerana boleh dikatakan persembahan kami dalam Berpasukan Asia tidak cukup bagus walaupun kami menang.
"Saya rasa masalah kami adalah konsistensi yang masih belum dapat diselesaikan.
"Kalau dilihat dalam kejohanan itu, kami tewas kepada pasangan muda Jepun sehingga kami juga tidak dapat menerimanya," katanya.
Mengenai pertemuannya dengan Rexy, Aaron menambah: "Selepas Berpasukan Asia, saya dan Wooi Yik ada berbincang mengenai masalah kami bersama jurulatih Rexy dan kami berkongsi kepadanya mengenai masalah kami yang sentiasa tidak konsisten.
"Adakala kami boleh beraksi dengan amat baik dan adakala kami boleh beraksi dengan terlalu buruk.
"Saya rasa masalahnya adalah, apabila kami sudah berada di kelompok ranking atasan dunia dan berdepan pemain di ranking lebih rendah, kami ada perasaan tidak berani untuk kalah kepada mereka.
"Tidak mahu kalah dan tidak berani kalah adalah perkara berbeza.
"Ia membuatkan kami lebih tertekan dan apabila pihak lawan mempunyai prestasi yang lebih baik, ia menjadikan permainan kami tidak lancar. Kami lebih menurutkan hati," katanya.

"Tak mahu kalah punya hati dengan tak berani kalah punya hati itu lain" Aaron Chia kongsi TEGURAN Rexy Mainaky ketika 'heart to heart talk'...@AaronChia24 @BA_Malaysia @muiz_aziz07 pic.twitter.com/kprT8g680Q

— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) March 1, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#badminton #Aaron Chia #Soh Wooi Yik #Rexy Mainaky #Badminton Terbuka Jerman