Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, berpandangan kekuatan mental pemain negara masih belum berada di tahap terbaik.

Ini selepas barisan pemain negara sekadar menamatkan saingan Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Osaka dalam pusingan suku akhir.

Tiga wakil terakhir negara, iaitu bregu campuran, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, selain beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teoh Ee Yi, gagal ke separuh akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing semalam.

Bagi Rexy, faktor kekuatan mental menjadi perkara paling utama dalam memastikan setiap pemain negara dapat beraksi dengan lebih konsisten di pentas tertinggi dunia.

Dalam satu temu bual Astro Arena, dia berkata: "Mereka sebnarnya boleh pergi lebih jauh cuma mereka masih bermain dengan tidak konsisten.

"Mereka terganggu dengan fikiran-fikiran yang tidak perlu sehingga prestasi dalam gelanggang menjadi tidak konsisten.

"Itu yang membuatkan saya berasa sedikit tidak puas kerana pemain di tahap mereka tidak boleh terlalu mudah diganggu dengan fikiran seperti itu.

"Tetapi itu cuma pandangan saya, pemain sendiri perlu ada perubahan daripada segi cara mereka berfikir.

"Sewaktu latihan, mereka perlu berfikir untuk menjadi juara dan bukan hanya untuk menjadi lebih baik, jadi apabila berada di atas lapangan mereka akan berfikir untuk menjadi juara," katanya.