Kebangkitan yang cuba dilakar beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sekadar separuh jalan apabila terpaksa akur terkandas dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, di Tokyo, hari ini.

Selepas berhempas-pulas menundukkan beregu China, Han Cheng Khai-Zhou Hou Dong, dalam pusingan kedua semalam, pasangan negara itu berdepan laluan lebih berliku apabila dijadualkan bertemu pilihan utama kejohanan dari Indonesia dalam suku akhir.

Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas 14-21 dalam set pertama sebelum bangkit mengikat kedudukan dengan kemenangan 24-22 dalam set berikutnya.

Beregu lelaki utama negara itu, bagaimanapun, memaparkan permulaan buruk dalam set penentuan hingga satu ketika ketinggalan 6-13.

Walaupun cuba mengejar kedudukan, ia jelas sudah terlambat buat pasangan negara itu untuk akur tewas 15-21.