Kem badminton negara menerima tamparan awal di pusingan pertama Terbuka Indonesia yang membuka tirai hari ini apabila tonggak perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, sekali lagi kalah awal, sekaligus mencetus banyak persoalan mengenai prestasinya yang makin merosot.

Ini merupakan kali kedua Zii Jia bertemu dengan wakil Denmark, Rasmus Gemke, dalam tempoh dua minggu.

Berbeza dengan minggu lalu, di mana Zii Jia menarik diri pada set pertama, kali ini dia berentap sehingga rubber set, bagaimanapun tewas dengan keputusan 21-13, 23-25, 16-21 dalam tempoh tempoh 67 minit.

Biarpun keputusan itu tidak menjejaskan peluang anak kelahiran Kedah itu untuk layak ke saingan akhir Jelajah Dunia minggu hadapan, namun tetap wujud kebimbangan mengenai prestasi Zii Jia yang dilihat semakin menurun.

Ini merupakan kejohanan keenamnya yang berturut-turut sejak beraksi di piala Sudirman September lalu.

Sementara itu, jurulatihnya, Hendrawan, mengakui Zii Jia dalam keadaan berhati-hati bagi mengelak kecederaan lama berulang.

Zii Jia mengalami kecederaan pinggang ketika aksi final Terbuka Hylo, Jerman pada awal November.

Bagaimanapun, wakil beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, tidak menghampakan apabila mudah menundukkan beregu di tangga ke-68 dunia dari Sepanyol, Clara Azurmendi-Beatriz Corrales, 22-20 , 21-19 untuk mara ke pusingan kedua.