Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, melepasi halangan berliku dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2019 selepas menundukkan pasangan tuan rumah, Tontowi Ahmad-Oktavina Kandow dalam aksi tiga set, sebentar tadi.

Sekali lagi dipertemukan selepas empat bulan, pertembungan Peng Soon-Liu Ying dan Tontowi-Oktavina dalam suku akhir Terbuka Indonesia sememangnya dijangka sengit -- mengulangi perjalanan beregu negara itu dalam saingan Seluruh England, Mac lalu.

Bagaimanapun, pasangan beregu negara yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, enggan tewas buat kali kedua, malah bermula baik apabila dengan pantas menjarakkan kedudukan mata dalam set pertama untuk menang 21-11.

Tontowi-Oktavina menampilkan peningkatan dengan persembahan lebih mantap untuk membawa perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-14.

Saingan lebih sengit yang diharapkan kedua-dua pasangan itu dalam set ketiga bagaimanapun tidak terjadi.

Selepas terikat 9-9, Peng Soon-Liu Ying segera menamatkan perjuangan lawan dengan kemenangan 21-14 untuk melangkah ke separuh akhir.