Terbuka Indonesia: Momota kecewakan Chong Wei dalam separuh akhir

Penulis Jemputan
Julai 7, 2018 15:52 MYT
Pemburuan gelaran ketujuh Kejohanan Terbuka Indonesia terkubur buat Datuk Lee Chong Wei yang gagal menangani kebangkitan perseorangan meningkat naik dunia, Kento Momota, di Jakarta, sebentar tadi.
Pertemuan ini ibarat ulangan final Terbuka Malaysia minggu lalu. Penyudahnya, Chong Wei membuktikan keunggulan sebagai ikon dunia apabila menjulang kejuaraan buat kali ke-12.
Di Jakarta, permulaan idaman dicari Chong Wei dalam pertemuan penuh taktikal ini ibarat di dalam tangannya. Dia mendahului 19-17 sebelum kejadian tidak diduga berlaku, Momota bangkit menyerang.
Selepas Momota merampas set pertama 23-21, Chong Wei seolah-olah hilang arah dalam set berikutnya.
Kali ini, tiada cerita pertarungan menakjubkan, sebaliknya Momota mempamerkan bakat sebagai perseorangan yang dicanang menawan dunia satu hari nanti.
Kemenangan 21-12 direkodkan pemain Jepun tersebut yang membawanya ke final, seterusnya memperbaiki rekod pertemuan menentang Chong Wei.
Dia kini sudah menyamakan kedudukan 2-2 dengan jaguh perseorangan negara itu selepas empat pertemuan.