Kem badminton negara melalui perubahan apabila barisan kejurulatihan beregu campuran dirombak semula dengan posisi ketua jurulatih beregu campuran, Pang Cheh Chang, digantikan oleh Chin Ee Hui.

Cheh Chang dipercayai mula mengetuai pemain beregu remaja sejak minggu lalu apabila dilihat sering melatih pemain remaja daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Walaupun melakukan rombakan menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia, pemain beregu campuran, Shevon Jemie Lai, berpandangan penukaran jurulatih itu tidak akan menjejaskan persiapan atlet.

"Rombakan yang dilakukan bukanlah melibatkan ramai jurulatih dan Ee Hui juga sudah lama dalam kem ini.

"Kami juga sudah biasa dengan corak latihan dan komunikasinya," katanya.

Sementara itu, gandingannya, Goh Soon Huat, telah mendapat kelulusan doktor untuk beraksi dalam kejohanan pada 16 Julai hingga 21 Julai itu.

Namun, Ee Hui, akan mengawasi keadaan Soon Huat sebelum memberi pelepasan kepadanya untuk beraksi di Indonesia.

"Saya masih memantau keadaan Soon Huat sebelum membuat keputusan akhir memandangkan minggu ini, dia baru sehari sahaja menyambung latihan selepas beberapa minggu menjalani rawatan," kata jurulatih itu.