Dua beregu lelaki negara melakar kejutan untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas menewaskan lawan masing-masing di Bali hari ini.

Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta kejutan terbesar apabila meraih kemenangan set langsung ke atas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan pilihan ketiga dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin.

Perlawanan berlangsung sengit pada awal aksi tetapi selepas mengikat kedudukan 5-5, gandingan negara itu tidak pernah ketinggalan untuk menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-15.

Kedua-dua beregu saling berbalas mata dalam set kedua sebelum kedudukan terikat 21-21 dan Nur Izzuddin dan Sze Fei menggungguli dua mata terakhir untuk menamatkan perlawanan selama 27 minit itu dengan kemenangan.



Turut melakar kejutan adalah beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang menewaskan gandingan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Biarpun berdepan lawan yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan itu, Yew Sin dan Ee Yi hanya memerlukan waktu kurang setengah jam untuk merakamkan kemenangan 21-14, 21-17 bagi mengesahkan tempat ke suku akhir.

Bagaimanapun, cabaran berat menanti mereka apabila dijadualkan bertemu pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, dalam penentuan ke separuh akhir esok.



*Kredit foto: Badminton Photo

Keputusan lain:
Beregu wanita:
Pearly Tan-M. Thinaah kk Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi 21-14, 20-22, 17-21
Lee Meng Yean-Yap Cheng Wen kk Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 14-21, 15-21
Vivian Hoo-Lim Chiew Sien kk Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 26-24, 12-21, 11-21

Beregu Campuran:
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mn Jones Ralfy Jansen-Linda Efler 21-9, 21-13
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mn Adnan Maulana-Mychelle Crhystine Bandaso 21-8, 21-19
Chen Tang Jie-Peck Yen Wei kk Dechapol Puavarankroh-Sapsiree Taerattanachai 15-21, 14-21