Perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, menepati ramalan layak ke suku akhir Terbuka Indonesia selepas menyingkirkan pemain Denmark, Anders Antonsen, dalam pusingan kedua di Jakarta, sebentar tadi.

Chong Wei yang masih segar daripada kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia buat kali ke-12, Ahad lalu, mudah mengatasi Antonsen 21-12, 21-15 di Istora Senayan.

Lawan seterusnya buat Chong Wei dalam suku akhir ialah Kantaphon Wangcharoen, yang menewaskan wakil Denmark, Hans-Kristian Vittinghus, 21-18, 21-11.

Jika pemain nombor empat dunia itu muncul juara, ia akan menjadi gelarannya yang ketujuh, sekali gus menjadi pemain paling berjaya dalam Terbuka Indonesia.