Cabaran Malaysia dalan Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia berakhir di peringkat suku akhir selepas wakil terakhir negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, tewas kepada gandingan pilihan keenam dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Bali sebentar tadi.

Beregu lelaki negara itu mencipta kejutan apabila menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin, dalam pusingan kedua semalam tetapi akur dengan kekalahan tipis kepada Rankireddy-Shetty hari ini.

Sze Fei dan Nur Izzuddin bermula baik dalam set pertama hingga pada satu ketika mendahului 12-6 tetapi mereka mula membenarkan lawan merapatkan jurang dengan pungutan mata-mata mudah sebelum keputusan terikat 14-14.

Kedua-dua beregu kemudian saling berbalas pungutan mata sehingga terikat 19-19 tetapi gandingan negara itu melepaskan dua mata terakhir untuk tewas
19-21 dalam set pembukaan itu.

Skrip berbeza berlaku dalam set kedua di mana Sze Fei dan Nur Izzuddin ketinggalan jauh 13-18 sebelum mengejar menjadikan1 kedudukan 19-19 tetapi mereka sekali lagi melepaskan dua mata terakhir, sekali gus menyaksikan tiada wakil negara layak ke separuh akhir kejohanan berkenaan.


*Kredit foto: Badminton Photo