Beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, mempamerkan aksi cemerlang untuk mara ke final Terbuka India selepas mereka menumbangkan pilihan utama dan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, 21-19, 21-23, 21-14, hari ini.

Beregu muda itu menempah tiket untuk berentap dengan pasangan pengantin baru dari Singapura, Hee Yong Kai Terry-Tan Wei Han, dalam perlawanan akhir esok.

Tang Jie-Yen Wei memang berhak untuk ke perlawanan akhir buat julung kalinya selepas mendominasi lawan yang lebih senior tersebut dalam sebahagian besar pertarungan yang berlanjutan selama 71 minit itu.

Justeru, Tang Jie yang merupakan arkitek kepada permainan garang sedia mendapatkan nasihat daripada pakar beregu campuran, Chan Peng Soon, bagi pertemuan esok.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan ‘abang besar’ kami, Peng Soon, untuk perlawanan akhir. Dia berpengalaman luas dan boleh menawarkan nasihat kepada kami selain jurulatih kami,” katanya.




Beregu nombor 40 dunia itu merupakan wakil tunggal negara dalam perlawanan akhir selepas Ng Tze Yong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kedua-duanya tewas dalam aksi separuh akhir.

Tze Yong sekali lagi terpaksa mengharungi aksi tiga set tetapi kali ini langkahnya tersekat apabila terpaksa akur kepada kebangkitan pemain muda India, Lakshya Sen, 21-19, 16-21, 12-21.

Pelapis perseorangan lelaki negara itu tangkas untuk memastikan set pertama yang sengit dan kelihatan selesa pada awal permainan set kedua.

Tetapi keletihan mula menghambatnya dan Lakshya mengambil kesempatan itu dengan menaikkan tempo selain pukulan ke penjuru gelanggang yang sering memerangkap lawannya.

Pemain India itu bakal berdepan juara dunia, Loh Kean Yew, yang layak ke final selepas menundukkan lawannya dari Kanada, Brian Yang.

Beregu profesional negara, Yew Sin-Ee Yi, turut tersingkir apabila tewas 15-21, 18-21 kepada pilihan utama, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan bahawa seorang pemain disahkan positif COVID-19 dan terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu.