Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India selepas menewaskan gandingan Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun, sebentar tadi.

Selepas terkandas dalam pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lalu, beregu negara itu memastikan jejak mereka lebih jauh dalam kejohanan kali ini dan ia bermula dengan kemenangan 21-14 dalam set pertama.

Bagaimanapun, selepas kedudukan terikat 4-4 dalam set kedua, Pearly dan Thinaah membenarkan lawan mendahului 10-5 sebelum mereka kembali mengejar untuk menyamakan kedudukan 14-14.

Namun, mereka membenarkan lawan melebarkan penguasaan pada penghujung set berkenaan sebelum akur dengan kekalahan 16-21.

Penguasaan penuh kembali dipamerkan pasangan negara itu dalam set penentuan, di mana mereka tidak pernah ketinggalan sejak kedudukan terikat 4-4 dan selepas mendahului 11-6, mereka meraih 10 mata berturut-turut untuk menamatkan pertarungan selama 51 minit itu dengan kemenangan 21-6 dalam set ketiga.