Perseorangan lelaki profesional, Cheam June Wei, menganggap tiada yang mustahil untuk menyerlah dalam Kejohanan Badminton Terbuka India berikutan ketiadaan beberapa nama besar.

Begitupun, June Wei yang bakal buat penampilan keduanya sebagai pemain profesional sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada November tahun lalu optimis dia boleh mara jauh untuk saingan ini.

Ini berikutan tiada nama besar dalam saingan bertaraf super 500 itu yang bermula Selasa ini termasuklah barisan pemain dari China dan Jepun bagi acara perseorangan lelaki.

Begitupun, cabaran utama mungkin tertumpu kepada juara dunia 2021, Loh Kean Yew, dari Singapura.

Apatah lagi dia mendambakan untuk mengumpul mata ranking yang lebih banyak pada tahun ini bagi menempatkan dirinya dalam kelompok 30 terbaik menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo, Ogos depan.

"Saya harap dapat mempamerkan prestasi terbaik.

"Saya mahu menembusi kelompok 30 pemain terbaik dunia terlebih dahulu pada tahun ini," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Pemain di ranking ke-73 itu diundi bertemu dengan pemain Russia, Sergey Sirant, dalam pusingan pertama.

Dua lagi wakil Walaysia yang akan mengibarkan cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki merupakan Soong Joo Ven serta Ng Tze Yong.





Dalam masa sama, pemain muda, Valeree Siow, pula mahu permulaan yang positif bersama gandingan baru, Chan Peng Soon, untuk sekurang-kurangnya ke suku akhir.

Ini merupakan kejohanan pertamanya bersama Peng Soon sejak mula digandingkan bulan lalu.

Menariknya mereka diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan dan bakal buat perhitungan dengan Raju Reehan-Anes Kowsar dalam pusingan awal.

Valeree, yang masih lagi dalam fasa menyesuaikan diri akan bergandingannya dengan pemain yang agak berusia, namun Peng Soon memiliki pengalaman amat luas dan ia mampu memberi kelebihan untuknya menimba lebih banyak pengalaman.

Valeree, yang meraih empat kejuaraan musim lalu termasuk Terbuka Antarabangsa Hellas 2021, berkemahiran dalam acara beregu campuran dan wanita, tetapi buat masa ini dia mahu membantu Peng Soon untuk merealisasikan impian pemain berusia 33 tahun itu untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya masih berlatih dalam kedua-dua kategori dan tidak hanya fokus kepada satu acara sahaja.

"Cuma saya perlu lebih banyak berlatih," katanya pula.