Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, terlepas peluang untuk menamatkan penantian gelaran pertama dalam Siri Jelajah Dunia BWF apabila tewas dalam final Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi sebentar tadi.

Sejak digandingkan pada 2018, beregu juara dunia itu masih belum pernah menjuarai sebarang kejohanan dalam siri berkenaan, dengan yang terbaik muncul naib juara Kejohanan Seluruh England pada 2019 dan Terbuka Thailand pada 2020.

Bagaimanapun, mereka kali ini memiliki peluang terbaik untuk menamatkan penantian itu apabila bertemu beregu bukan pilihan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang, dalam aksi final.

Aaron dan Wooi Yik pada awalnya mempamerkan dominasi penuh sebelum memenangi set pertama 21-14.

Bagaimanapun, lawan dari China berkenaan mula memberikan tentangan berbeza dalam set kedua, di mana Aaron dan Wooi Yik pada satu ketika ketinggalan 8-13 sebelum membenarkan lawan mengheret perlawanan ke set penentuan selepas tewas 19-21.

Beregu negara kemudian kembali mendominasi pada awal set ketiga untuk mendahului 12-7 tetapi mereka seolah-olah kehilangan fokus menuju ke penghujung permainan, di mana Aaron dan Wooi Yik membenarkan lawan menyamakan kedudukan 14-14 sebelum akur dengan kekalahan 18-21 setelah bertarung selama 63 minit.