Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka Hylo selepas tewas kepada pasangan pilihan utama dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, dalam pusingan kedua di Saarbrucken, Jerman sebentar tadi.

Satu-satunya pertemuan terdahulu di antara kedua-dua bergu berkenaan adalah dalam Terbuka Thailand awal tahun ini, di mana Pang Ron dan Yee See tewas dalam aksi tiga set 21-18, 16-21, 15-21.

Jurang 22 kedudukan ranking dunia jelas mempengaruhi aksi di Jerman kali ini dengan beregu negara itu hanya dapat memberikan saingan sehingga kedudukan 7-7 sebelum ketinggalan jauh 7-15 dan seterusnya tewas 10-21 dalam set pertama.

Pang Ron dan Yee See bangkit memberikan saingan dalam set kedua sehingga satu ketika berhasil menyamakan kedudukan 19-19 tetapi lawan di ranking ketiga dunia itu tidak menunggu lama untuk menamatkan pertarungan selama 33 minit berkenaan dengan kemenangan 21-19.