Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, mengakui bahawa dia mengalami masalah untuk kekal fokus dalam saingan di tahap tertinggi sehingga tewas kepada pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen,dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark awal pagi tadi.

Zii Jia memberikan saingan yang cukup sengit dalam perlawanan itu tetapi berdepan Axelsen selaku wakil tuan rumah dan dengan reputasi sebagai pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Zii Jia kelihatan tidak dapat mengawal tekanan sebelum akur tewas tipis 21-19, 21-19 dalam masa 39 minit.

Bercakap selepas perlawanan itu, perseorangan nombor tujuh dunia itu mengakui kelemahan dirinya dan bertekad untuk memperbaikinya dalam kejohanan yang akan datang.

"Secara keseluruhan, saya fikir ia adalah satu perlawanan yang sukar hari ini (awal pagi tadi), terutama pada mata-mata terakhir dalam set pertama dan set kedu," katanya seperti yang dipetik Astro Arena.

"Saya sudah mencuba tetapi dia (Axelsen) lebih yakin. Selepas Sukan Olimpik, dia kelihatan lebih yakin dan sudah pasti kerana dia sentiasa bermain di tahap tertinggi dan amat sukar untuk menewaskannya.

"Perkara utamanya adalah saya tidak dapat mengekalkan fokus yang sama di tahap tertinggi, jadi saya fikir ia adalah salah satu kelemahan saya ketika ini," katanya.

Zii Jia seterusnya akan menyertai Terbuka Perancis bermula minggu depan.