Kebangkitan yang cuba dilakar beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, disekat gandingan tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense Sports Park sebentar tadi.

Berdepan beregu veteran itu, yang juga pilihan kelapan kejohanan, Nur Izzuddin dan Sze Fei pada awalnya beraksi baik untuk saling berkejaran mata tetapi sebaik ketinggalan 11-13, gandingan negara itu membenarkan lawan memperoleh lapan mata berturut-turut untuk akur tewas 21-11 dalam set pertama.

Skrip sama hampir berulang dalam set kedua, di mana wakil negara itu pada satu ketika ketinggalan lapan mata di kedudukan 5-13 tetapi membekukan mata lawan untuk menyamakan kedudukan 16-16 sebelum menang 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Nur Izzuddin dan Sze Fei seharusnya sedar bahawa mereka tidak boleh membuang mata mudah pada awal set ketiga sehingga ketinggalan 2-9 sebelum sedikit demi sedikit merapatkan jurang dan hampir menyamakan kedudukan pada mata 15-16.

Bagaimanapun, selepas mengekori ke mata 18-19, beregu negara itu melepaskan dua mata terakhir untuk membenarkan Astrup dan Rasmussen ke final selepas bertarung selama hampir sejam.