Pengarah Teknikal Bahagian Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menjelaskan tekanan diterima Lee Zii Jia adalah antara proses matang seseorang pemain.

Ia susulan perkara itu menjadi antara sebab anak buah Hendrawan itu mengundur diri daripada kem kebangsaan dan mahu mencapai impiannya mengikut rentak sendiri.

Apabila ditanya tahap kegusaran BAM jika perseorangan muda negara, Ng Tze Yong, bakal melalui tekanan yang sama selepas menjadi pengganti Zii Jia, ini jawapan Choong Hann, "Tekanan adalah salah satu elemen dialami oleh atlet elit berprestasi tinggi. Semakin tinggi tahap seseorang atlet itu, semakin tinggi tekanan yang perlu dihadapi.

"Mustahil daripada pihak BAM yang tidak peka mengenai tahap psikologi yang dihadapi oleh mana-mana pemain, kami telah mendapatkan khidmat pakar bagi membantu atlet untuk menangani tekanan ketika beraksi di tahap tertinggi dan kami telah melakukan yang terbaik untuk membuat persiapan bagi atlet sebelum menghadapi kejohanan."

Choong Hann juga berkongsi perancangan BAM terhadap Tze Yong yang disasar berada dalam kelompok 20 terbaik dunia sehingga hujung musim ini.