Nama Chen Tang Jie mungkin sebuah nama yang belum begitu dikenali dalam badminton negara.

Bagaimanapun, dia merupakan aset baru skuad badminton kebangsaan dan seharusnya menerima pujian selepas mengambil langkah berani untuk keluar daripada program Sekolah Sukan Bukit Jalil sebelum kembali bersama pasukan kebangsaan.

Dalam satu sesi temubual bersama wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, baru-baru ini, Tang Jie juga menjelaskan faktor mengapa beregu campuran menjadi pilihannya ketika ada tawaran untuk turut mewakili beregu lelaki.

"Saya rasa lebih baik bermain dalam beregu campuran sebab dalam beregu (lelaki) adalah sementara walaupun ada keputusan baik.

“Dalam masa sama, saya rasa teruja bermain dengan Goh Liu Ying dan ia adalah cabaran besar bagi saya,” kata Tang Jie.

Bekas pemain Petaling BC itu juga mengakui pengalaman beraksi bersama Liu Ying banyak memberikannya pengalaman dalam usaha untuk meningkatkan kualiti permainan.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana melihat potensi saya untuk bergandingan dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik.

"Saya harap boleh berkomunikasi baik dengan Liu Ying dan selepas dua hari ini, dia juga mengajar saya banyak perkara."