Tahun 2016 proses matangkan Jin Wei


Disember 29, 2016 20:58 MYT

Tahun 2016 cukup memberangsangkan bagi badminton Malaysia tetapi buat permata remaja negara, Goh Jin Wei, tahun ini mematangkannya dalam menempuh lebih banyak saingan senior bagi menghadapi 2017.

Waktu cuti pasca musim 2016 digunakan sebaiknya oleh Jin Wei apabila tetap turun mengerah keringat mencorak latihan bersama rakan dalam skuad kebangsaan.
Dalam tempoh tanpa aksi kompetitif ini juga, Jin Wei berupaya menikmati kejayaan dan mengenal pasti kelemahan yang perlu diatasi.
Tahun ini turut menyaksikan Jin Wei sudah mula beraksi di pentas Siri Super, namun impian mempertahankan kejuaraan remaja dunia tidak kesampaian.
"Prestasi saya naik turun tahun ini, terutama dalam Kejohanan Remaja Dunia. Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah pandai menangani tekanan berbanding sebelum ini," jelasnya.
Jin Wei yang akan mencecah usia 17 tahun pada 2017 akan berdepan cabaran tersendiri membahagikan masa di antara badminton dan pengajian.
Semuanya disambut dengan senyuman buat Jin Wei yang lebih teruja untuk bersaing dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
"Perkara pertama adalah untuk beraksi dalam Sukan SEA 2017 dan kemudiannya barulah mengejar ranking dunia.
"Saya rasa tidak mungkin tahun hadapan saya mampu menduduki kelompok lapan terbaik," tambahnya.