Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meraih kejayaan terbesar karier mereka setakat ini apabila menumbangkan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 23-21, 16-21, 21-14 untuk merangkul gelaran beregu lelaki Terbuka Jerman, awal pagi tadi.

Kejayaan mereka itu hadir hasil kesungguhan dan usaha berpasukan yang pada mulanya diragui selepas kaki kanan Nur Izzuddin ketika di penghujung set ketiga.

Tetapi dia kental bertahan sebelum memuktamadkan kemenangan menakjubkan mereka itu.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang terlebih dahulu mengatasi dua wakil Malaysia termasuk kemenangan dalam aksi tiga set ke atas Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk mara ke separuh akhir.

Mereka kemudian mendominasi satu lagi pencabar dari China, He Ji Ting-Zhao Dong, untuk mara ke final super 300 itu buat julung kalinya.

Beregu kedua negara tersebut memulakan permainan itu dengan meyakinkan selain menampilkan beberapa pukulan licik.



Beregu nombor 18 dunia itu, bagaimanapun, terpaksa mengejar kedudukan dan memungut dua mata ketika di kedudukan 18-20 sebelum menawan set pertama 23-21.

Selepas sentiasa di depan dalam set kedua, lawan dari China itu menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-16.

Tetapi beregu negara itu menentukan takdir sendiri dengan menguasai set penentuan berkenaan apabila mendahului 7-2 sebelum mengesahkan kemenangan di sebalik Nur Izzuddin bergelut menahan kesakitan.