Pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, membuat keputusan untuk berpisah setelah tujuh tahun bersama.

Walaupun meraih beberapa pencapaian cemerlang, gandingan itu seperti hilang keserasian dan momentum sebaik musim 2023 bermula.

Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, menganggap ia jalan terbaik untuk karier mereka tetapi keputusan rasmi akan dimaklumkan setelah perbincangan bersama pihak BAM.

"Ini adalah jalan penyelasaian diambil bagi memastikan kelangsungan masa depan mereka. Keputusan ini adalah daripada Sze Fei dan Izzuddin kerana saya mahu mengekalkan mereka bersama. Ia merupakan keputusan daripada pemain untuk mencari haluan baru," kata Rexy.

Rexy jelas menghormati keputusan yang dibuat kerana percaya anak buahnya mengetahui apa yang ingin dikecapi dan waktu yang tepat untuk lakukan perubahan agar tidak terus dibelenggu dengan aksi tidak memuaskan.

Terdahulu, Sze Fei dan Izzuddin telah direhatkan daripada menyertai Kejohanan Terbuka Hylo 2022 susulan kegagalan di Terbuka Denmark serta Terbuka Perancis 2022 yang membuat mereka tidak dapat beraksi di Kejohanan Jelajah Dunia Akhir.

Dengan harapan tinggi, Rexy berharap mereka dapat memberikan fokus untuk musim 2023 tetapi sekali lagi hampa.

Sementara itu, Rexy juga berkongsi bahawa perbincangan untuk gandingan baru akan dilakukan sejurus beberapa jurulatih kembali dari saingan Masters Indonesia 2023.

"Mereka sudah menghampiri kelompok 10 terbaik dan buat masa ini, saya akan membuat perancangan baru buat mereka menjelang kelayakan Sukan Olimpik."

Walaupun waktu cukup singkat sebelum kelayakkan mata Sukan Olimpik Paris bermula, Rexy akan buat perancangan teliti untuk memberikan penyelesaian yang terbaik untuk skuad negara.

Dalam perkembangan sama, Goh Sze Fei berkata dia sudah cuba mencari jalan penyelesaian lain tetapi menganggap kenyataan pasangannya adalah petanda untuk mereka membawa haluan masing-masing.

Izzuddin juga kongsi bahawa kekalahan demi kekalahan yang diraih mereka berdua membuatkan dia yakin untuk berpisah dan mencari nafas baru bersama pasangan yang akan digandingkan kelak.