Pemain badminton perseorangan Wilayah Persekutuan (WP), Leong Jun Hao, tetap menghormati kemampuan lawan biarpun jelas kelihatan jurang yang cukup ketara di antara pemain kebangsaan dan juga negeri di pentas Sukan Malaysia (Sukma) Perak.

Jun Hao adalah antara beberapa pemain kebangsaan yang memperkuatkan pasukan masing-masing bagi saingan Sukma Perak.

Jelas, corak permainannya jauh berbeza berbanding lawan dan ini memberikan kelebihan yang cukup besar, khususnya bagi menghadapi saingan individu nanti.

Aksi kemas Jun Hao membantu WP untuk melakar kemenangan 4-1 ke atas Kedah dalam aksi kedua Kumpulan Y saingan berpasukan semalam, sekali gus mengesahkan tempat dalam final, petang ini.

"Ada pemain negeri yang bagus tetapi tidak terpilih dalam skuad kebangsaan.

"Bukan senang untuk lawan mereka," katanya.

Mengulas mengenai cabaran dalam final berpasukan nanti, Jun Hao berasakan Pulau Pinang mempunyai kelebihan berdasarkan status mereka sebagai naib juara edisi 2016 di Sarawak.

Malah, saingan peringkat kumpulan sebelum ini juga menyaksikan WP terpaksa akur dengan kekalahan tipis 2-3, justeru Jun Hao mahu memastikan kisah berbeza berlaku dalam final nanti.

"Saya berasa sedikit sakit di bahagian siku, ia mengganggu rentak saya.

"Apapun, saya akan menjalani proses pemulihan sambil memberi fokus kepada permainan selepas ini," katanya lagi.