Pemain badminton Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zulhelmi Zukiffli, mara ke final acara perseorangan lelaki Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 selepas menundukkan wakil dari Kolej INTI, pagi tadi.

Zulhelmi berjaya menyingkirkan Ng Jin Ping selepas bergelut dalam aksi sengit separuh akhir dengan keputusan 21-15, 21-15.

Sasaran ke final hampir musnah apabila Jin Ping mula membaca rentak permainan pemain berusia 22 tahun itu dan meletakkan jurang lima mata di hadapan sebelum Zulhelmi kembali fokus untuk menguasai perlawanan.

Apa yang pasti, dia enggan terlepas dalam memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas tewas di peringkat separuh akhir dalam edisi lalu bagi acara beregu.

"Lima mata pertama mungkin disebabkan saya belum dapat membiasakan diri dengan perlawanan, jadi ia tidak begitu konsisten. Saya dapat membaca rentak permainan selepas mencapai 11 mata.

"Saya mungkin terlalu tenang sehingga hilang fokus dalam set kedua," katanya.

Adik kepada Zulfadli Zulkiffli itu jelas ingin mengikut jejak langkah abangnya yang mencipta nama di pentas antarabangsa sebagai pemain profesional pada tahun ini apabila sanggup menangguhkan pelajaran untuk menyertai kejohanan antarabangsa.

"Sekarang saya menangguhkan pembelajaran untuk menumpukan perhatian kepada kejohanan antarabangsa bermula Mac di Vietnam," ujarnya.