Pemain badminton perseorangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zulhelmi Zulkiffli, meraih pingat emas pertamanya dalam Sukan Insititusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 selepas menewaskan lawan dari Universiti Malaya (UM), Shahzan Shah Misfahul Muneer, hari ini.

Adik kepada pemain negara, Zulfadli Zulkiffli, itu tidak berdepan sebarang masalah untuk menang straight set 21-12, 21-15.

Selepas belajar daripada kesilapan untuk tidak terlalu selesa dengan kemenangan dalam set pertama di peringkat separuh akhir, Zulhelmi berjaya menguasai seluruh perlawanan hingga kemenangan berpihak kepadanya.

Jika sebelum ini pemain berusia 22 tahun itu beraksi bagi acara beregu, keserasiannya lebih tertumpu kepada acara perseorangan pula dan akan terus beraksi bagi acara itu bermula tahun ini.

"Aksi set pertama menunjukkan Shahzan masih belum dapat membaca corak permainan saya, jadi saya mengambil kesempatan itu. Dia mengubah cara permainan dalam set kedua tetapi mujur saya dapat mengawalnya," kata Zulhelmi.

Bagi acara beregu, pasangan Chua Khek Wei dan Muhamad Razlan Shah dari UM terpaksa akur apabila tewas kepada wakil Kolej Komuniti Malaysia (KKM), Ahmad Maziri Mazlan dan Izzat Farhan Azhar, dalam aksi yang terpaksa diheret ke set penentuan dengan keputusan 21-13, 16-21, 21-17.

"Sepatutnya kami boleh mengesahkan kemenangan dalam set kedua tetapi kami melakukan beberapa kesilapan yang tidak patut, sebab itu ia terpaksa ditentukan melalui set ketiga," ujar Izzat.