Penantian sudah berakhir, Sukan SEA Vietnam akan dianjurkan pada pertengahan Mei tahun depan selepas tamat Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Thailand.

Cabaran besar buat kontinjen negara apabila temasya akan dianjurkan di seluruh Vietnam ekoran masalah kekurangan venue pertandingan dan kesuntukan masa seperti dikongsi wartawan Astro Arena, Bazly Azmi.

SGF akhirnya memutuskan tarikh Sukan SEA Vietnam selepas temasya yang sepatutnya dianjurkan bulan depan terpaksa ditunda ekoran pelbagai masalah.

Mei tahun depan bermakna atlet negara hanya mempunyai tempoh tujuh bulan untuk melakukan persiapan -- tempoh paling pendek dalam sejarah.

Ia menambah cabaran untuk Malaysia selepas Vietnam mengambil keputusan untuk menganjurkan temasya di beberapa venue berbeza.