Skuad bola keranjang lelaki yang bertunjangkan pemain senior seperti Kuek Tian Yuan menyimpan kemahuan untuk mencipta keajaiban dalam Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.

Berbeza dengan skuad wanita yang perlu mengekalkan pingat emas, skuad lelaki turun dengan sasaran sekurang-kurangnya memastikan pingat gangsa.

Tian Yuan, yang bakal buat penampilan keempat dalam temasya itu sejak kali pertama di Jakarta pada 2011, mengimpikan sesuatu lebih besar.

Sejak 2011 bola keranjang lelaki Malaysia tidak berupaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dalam Sukan SEA.

"Sasaran saya adalah gangsa tetapi saya akan cuba membantu pasukan untuk mara ke final untuk mendapatkan perak," katanya.

Tian Yuan juga berasakan kehadiran semula Goh Cheng Huat selaku ketua jurulatih negara boleh menyumbang kepada faktor kejayaan negara.

Cheng Huat, yang menggantikan Paul Advincula, turut berjaya memikat kembali khidmat pemain berpelangalam yang bersara sebelum ini seperti Chee Lee Wei dan Kwan Yoong Jing.

"Dalam Sukan SEA sebelum ini, kami memiliki ramai pemain muda tetapi pada tahun ini kami ada beberapa pemain senior yang membuat penampilan semula , dengan beberapa perubahan dibuat jurulatih," kata Tian Yuan.