Status penyertaan Goh Jin Wei dalam Sukan SEA pada bulan depan menjadi tanda tanya susulan kecederaan yang dialaminya dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia yang sedang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Jin Wei mengalami kecederaan buku lali kiri ketika beraksi menentang wakil tuan rumah, Gregoria Mariska, dalam separuh akhir acara berpasukan campuran.

Turun selaku perseorangan wanita, Jin Wei terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 16-17 pada set kedua selepas tewas pada set pertama 11-21.

"Saya fikir kecederaan itu adalah kecederaan lama. Pada awal tahun ini, dia turut mengalami masalah sama," kata ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng.

"Dalam perlawanan kedua, dia melakukan lompatan untuk melakukan smash dan saya rasa ketika jatuh dia mengalami kesakitan pada buku lali kiri.

"Kami mendoakan yang terbaik untuknya dan diharapkan kecederaan itu tidak serius seperti yang disangka."

Senario itu turut menyaksikan Malaysia menyerahkan kemenangan mudah 3-1 kepada Indonesia memandangkan Jin Wei turut disenaraikan dalam acara beregu, bergandingan dengan Pearly Tan.

Sebarang persoalan terhadap kecergasan Jin Wei untuk Sukan SEA hanya akan terjawab selepas dia pulang ke tanah air, esok.

"Bagaimanapun, kita harus menunggu kepulangannya esok. Kita harus menunggu penilaian daripada doktor dan hanya doktor akan mengetahui sejauh mana kecederaannya," tambah Yoke Meng.

Goh Jin Wei

Ranking dunia: 26
Umur: 17 tahun

Pencapaian pada tahun ini:

• Naib juara Terbuka Taiwan
• Pusingan kedua Terbuka Malaysia
• Pusingan kedua Masters Malaysia
• Pusingan pertama Terbuka Indonesia
• Pusingan pertama Terbuka Singapura
• Pusingan pertama Kejohanan Asia