Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, berharap agar kecederaan yang dialami Goh Jin Wei tidak menutup peluang buat pemain badminton perseorangan wanita negara berusia 17 tahun itu untuk beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan depan.

Kelibatnya dalam temasya dwitahunan itu menjadi taruhan utama dalam acara perseorangan wanita bersama-sama seorang lagi pemain negara, Soniia Cheah, namun kini menjadi tanda tanya selepas mengalami kecederaan buku lali dalam saingan berpasukan Kejohanan Remaja Asia di Jakarta, Isnin lalu.

Kecederaan itu merupakan kecederaan keduanya tahun ini dan ia menyebabkannya bakal terlepas Kejohanan Terbuka New Zealand yang akan bermula minggu depan sambil Frost turut melahirkan kebimbangan terhadap situasi pemain muda tersebut.

“Ketika di Jakarta, ia tidak nampak serius tetapi sukar untuk dijelaskan.

“Buat masa sekarang, saya hanya menunggu keputusan imbasan daripada doktor,” katanya.

Dalam masa sama, Frost menyatakan skuad negara semakin tidak sabar untuk menghadapi Sukan SEA berdasarkan persiapan yang diharungi ketika ini dan mengakui sasaran dua emas merupakan satu cabaran buat mereka tetapi tetap optimis dengan kebolehan pemain-pemain negara.

“Bagi saya, ia satu sasaran yang tinggi memandangkan kami meraih pencapaian tertinggi di Singapura 2015 sejak tahun 1977 (lapan pingat), namun kami akan memberikan yang aksi terbaik buat Malaysia.