Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai, dilaporkan antara empat pegawai yang sedia melepaskan jawatan berikutan kekalahan mengejutkan skuad badminton wanita negara dalam acara berpasukan Sukan SEA Kemboja 2023 semalam.

Malaysia tewas 0-3 kepada Filipina dalam acara itu di Dewan Badminton Morodok Techo, sekali gus gagl melayakkan diri ke separuh akhir.

Kekalahan itu dianggap memalukan walaupun Malaysia menghantar pasukan muda kerana Filipina bukanlah kuasa besar badminton di rantau ini.

Malah, situasi itu akan menjadi lebih buruk jika Malaysia gagal layak ke separuh akhir Piala Sudirman di Suzhou, China bermula hujung minggu ini.

"Setakat ini, kita melihat kepada perancangan jangka panjang," Kata Michelle seperti yang dipetik Astro Arena.

"Kami yakin perancangan jangka panjang itu sudah di sana tetapi masalahnya, walaupun kita memiliki perancangan jangka panjang, saya fikir kita perlu berhenti berkata: 'pemain kita muda lagi, baru 16 hingga 19 tahun' tetapi anda mahu bersaing dengan ranking dunia yang sama, betul tak?

"Saya bukannya mahu anda bersaing dengan Thailand atau China tetapi hari ini, kita sedang bercakap tentang Filipina.

"Jadi kita perlu satu jalan untuk mengadakan perubahan dalam tempoh tiga ke enam bulan ini.

"Jika kami empat orang ini sudah tiada idea untuk memberikan impak kepada pemain -- ia bukannya kerana kami tidak bagus, tapi kami tidak boleh memberikan impak kepada pemain yang kita ada ketika ini -- saya perlu keluarlah.

"Saya akan bagi orang lain masuk kerana orang lain yang masuk nanti mungkin boleh nampak benda lain," katanya.