Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, enggan terburu-buru menyertai sebarang kejohanan dalam masa terdekat jika belum benar-benar pulih daripada kecederaan.

Iskandar, yang mengalami kecederaan tulang belakang, masih belum menyertai sebarang kejohanan sejak Disember tahun lalu.

Biarpun telah kembali melakukan sesi latihan di gelanggang, namun dia masih tidak yakin dengan tahap kecergasannya, apatah lagi jika ingin bersaing dalam kejohanan.

Oleh itu, pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan tiada gunanya dia beraksi dalam Piala Sudirman bulan depan andai masih dibelenggu rasa sakit yang boleh mencacatkan prestasinya.

"Saya lebih risaukan tahap kecederaan saya kerana masih banyak lagi kejohanan yang akan ditempuhi pada masa akan datang.

"Saya lebih mengutamakan kempen Sukan SEA," katanya menjelang kempen yang bakal berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan.

Misi utama Iskandar ketika ini adalah Sukan SEA dan tetap berharap mampu untuk menyertai sekurang-kurangnya satu kejohanan kompetitif sebelum temasya bermula pada Ogos depan.

"Tahap kecederaan saya sudah semakin baik.

"Tetapi untuk persembahan peringkat tinggi masih jauh kerana saya masih berasa tidak selesa ketika beraksi.

"Ketika ini, saya memberanikan diri untuk kembali beraksi, namun ia mungkin memerlukan beberapa bulan lagi (untuk beraksi dalam kejohanan)."