Kem badminton beregu campuran negara melahirkan satu lagi permata baru selepas Chen Tan Jie-Peck Yen Wei memenangi pingat emas Sukan SEA Ke-31, sebentar tadi.

Finalis Terbuka India itu membuktikan kejayaan mereka menyingkirkan pilihan utama, Rinov Rivaldy-Pithac Mentari, malam tadi bukanlah satu kebetulan apabila menyajikan persembahan yang cukup menghiburkan di Gimnasium Bac Giang berkenaan ketika menundukkan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See.



Mereka perlu bangkit untuk menidakkan cabaran pilihan kedua itu selepas tumpas 15-21 dalam set pembukaan.

Selepas berbalas kutipan mata, Tan Jie-Yen Wei makin garang untuk mengorak langkah menuju penghujung set kedua bagi kemenangan 21-19.

Momentum itu dibawa dalam set terakhir yang menyaksikan mereka mengutip mata demi mata sebelum pihak lawan yang di ranking ke-42 tersebut mula mengimbangi permainan untuk terikat 11-11.

Namun, insiden pertikaian mengenai keputusan penjaga garisan memakan diri Pang Roon-Yee See selepas itu apabila membenarkan jurang besar oleh pihak lawan.

Walaupun berhasil menambah dua mata lagi, Tan Jie-Yen Wei nyata begitu bersemangat mengasak sebelum membenam bulu tangkis dengan kencang untuk memutlakkan kemenangan 21-13, sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun Malaysia untuk menawan semula acara itu.