Skuad badminton negara meraih pingat perak acara berpasukan lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 selepas tewas 0-3 kepada Thailand dalam aksi final di Gimnasium Bac Giang sebentar tadi.

Membariskan skuad muda dalam edisi kali ini, pasukan negara wajar diberikan pujian apabila dapat memberikan tentangan buat barisan Thailand, yang diketuai perseorangan di ranking ke-18 dunia dan naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2021, Kunlavut Vitidsarn.

Dibezakan 194 anak tangga dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Kok Jing Hong, yang turun sebagai perseorangan utama, jelas masih belum dapat menandingi Kunlavut sebelum tewas mudah 10-21, 15-21.

Beregu pertama negara, Man Wei Chong-Tee Kai Woon, kemudian terlepas peluang untuk mengikat kedudukan buat Malaysia apabila tewas tipis 20-22, 20-22 kepada Chaloempon Charoenkitamorn-Nanthakarn Yordphaisong untuk Thailand mendahului 2-0.

Tekanan lebih memuncak buat perseorangan kedua, Lee Shun Yang, dalam menghidupkan kembali perjuangan negara dan selepas menang 21-16 dalam set pertama, pemain di ranking ke-276 dunia itu tidak dapat mengekalkan momentum berkenaan sebelum tewas 13-21, 19-21 dalam dua set terakhir kepada Khosit Phetpradab.

Keputusan itu sekurang-kurangnya memastikan Malaysia mengekalkan pencapaian sama memenangi perak acara berkenaan dalam edisi di Manila tiga tahun lalu.